Monday, December 29, 2008

Orang bukan Islam pun sudah sokong hudud?

Utusan Malaysia 29 Disember 2008 melaporkan bahawa Kelab Penyokong PAS Kebangsaan yang mempunyai ahli lebih 10,000 orang (semuanya orang bukan Islam) tidak akan menghalang hasarat PAS untuk melaksanakan hukum hudud dan qisas.

(Saya anggap berita seperti itu tentu benar apabila Utusan Malaysia mahu menyiarkannya).

Pengerusi Kelab itu, Hu Pang Chaw dilaporkan berkata, " Kita tidak membantah jika PAS mahu melaksanakan hudud dan qisas sekiranya pakatan pembangkang menguasai kerajaan pada masa akan datang, kita memahami bahawa hukum itu hanya dilaksanakan kepada mereka yang beragama Islam sahaja".

Kata beliau seterusnya, "Orang Cina sudah faham soal Islam, mereka sudah faham ia hanya untuk orang Islam dan tidak melibatkan orang bukan Islam."

Sementara itu, mengikut laporan Harakah Bil. 1402, 29 Disember 2008 - 1 Janauri 2009, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, M.Kulasegaran ada berkata , "... beliau menghormati pendirian PAS dalam pelaksanaan hukum hudud, dan yakin bukan Islam di negara ini tidak akan terjejas kehidupan mereka jika ia dilaksanakan."

Beliau seterusnya dilaporkan berkata "Ia adalah pendirian PAS. Saya hormati pendirian mereka. Itu merupakan urusan mereka."

Dari dua kenyataan pemimpin bukan Islam itu, kita boleh simpulkan bahawa orang bukan Islam di negara ini sudah ramai yang boleh memahami dan menerima hukum hudud.

Walaupun pemimpin DAP yang lain seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh masih belum boleh menerima pelaksanaan hukum hudud, tetapi ada pemimpin DAP seperti M.Kulasegaran dan sebilangan orang bukan Islam yang menganggotai Kelas Penyokong PAS yang sudah boleh menerima pelaksanaan hukum tersebut.

Jadi dalam persaingan politik antara PAS dan UMNO, saya kira ini adalah kemenangan PAS.

Malang sekali sebagai parti Melayu yang terbesar UMNO masih tidak mahu menyokong pelaksanaan hukum hudud, sedangkan orang bukan Melayu boleh menerima pelaksanaan hukum tersebut.

PAS memang menyedari mereka belum mampu melaksanakannya dalam tempo terdekat secara bersendirian, tetapi hasrat itu tetap ada, dan pelaksanaan hukum hudud itu tetap menjadi matlamat perjuangan mereka.

Tapi apakah yang dilakukan oleh UMNO?

Pemimpin UMNO dan akhbar yang dikuasainya masih berdolak dalik, masih tidak berani berterus terang dan masih terus memperlekehkan hasrat dan matlamat perjuangan PAS.

Sepatutnya sebagai parti Melayu yang terbesar, UMNO-lah yang mempelopori pelaksanaan hukum tersebut.

Sekirannya UMNO yang mempeloporinya, PAS menyokongnya dan orang bukan Islam juga semakin ramai yang menyokongnya, tentu besar kemungkinannya hukum hudud akan dapat dilaksanakan dalam tempoh yang tidak terlalu lama.

Tapi malang sekali UMNO terus bermain politik, kerana ia memang tidak berani dan tidak ada pendirian tentang pelaksanaan hukum hudud.

Kita tidak tahu sampai bila UMNO akan berpendirian demikian. Tapi saya kira ini adalah kelemahan dan kesilapan UMNO, dan UMNO janganlah menyesal di kemudian hari, jika ia akan ditinggalkan bukan saja oleh orang Melayu, tetapi juga oleh orang bukan Melayu!

Saturday, December 27, 2008

Hukum hudud: Samy Vellu pun tumpang semangkuk?

Adakah Anwar Ibrahim perlu menyatakan pendiriannya tentang hukum hudud?

Nampaknya bukan pemimpin DAP saja yang mahu Anwar berbuat demikian. Dalam perkembangan terakhir, S.Samy Vellu, Presiden MIC pun mahu Anwar berbuat demikian juga.

Adakah Samy Vellu mahu memerangkap Anwar seperti Khairy Jamaluddin dikatakan memerangkap Husam Musa? Saya tidak tahu.

Akan tetapi, Samy Vellu tentu ada motif tertentu mengapa dia berbuat demikian.

Mungkin dia mengharapkan orang-orang India akan menarik sokongan mereka daripada PKR dan Anwar, jika Anwar menyatakan dia menyokong hudud, kerana orang-orang India seperti Samy Vellu tentu tidak mahu menyokong hudud.

Bagaimanapun, saya kira, jika Anwar memberi penjelasan, penjelasannya mungkin sama saja seperti penjelasan pemimpin PAS, iaitu sebagai seorang Islam dia tentu akan menyokong hudud. Akan tetapi, hukum hudud tentu tidak akan dilaksanakan tanpa persetujuan majoriti rakyat Malatysia, termasuk orang bukan Melayu.

Jadi hukum hudud boleh dibincangkan dan digembar-gemburkan, tapi kemungkinan ia akan dilaksanakan sebenarnya masih jauh dan terlalu jauh, dan mungkin tidak akan dilaksanakan sampai bila-bila.

Adakah Samy Vellu akan berpuas hati?

Friday, December 26, 2008

Khir Toyo mahu mansuhkan PPSMI?

Sekiranya Khir Toyo masih merupakan seorang Menteri Besar yang berkuasa, cadangan beliau supaya PPSMI dimansuhkan tentu akan menarik perhatian ramai.

Beliau tentu akan disanjung sebagai seorang pemimpin besar UMNO yang betul-betul kasihkan bahasa Melayu, yang mahu mengembalikan mertabat bahasa Melayu dan yang mahu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Akan tetapi, beliau nampaknya hanya berani mengeluarkan cadangan itu setelah beliau tidak berkuasa, dan ketika beliau mencalonkan diri untuk menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Adakah cadangan beliau itu akan memberi beliau sedikit keuntungan dari segi mendapatkan sokongan untuk menduduki jawatan Ketua Pemuda UMNO, saya tidak tahu.

Tapi saya kira cadangan beliau itu tentulah tidak diberi perhatian sangat, kerana mungkin hanya merupakan taktik beliau untuk mendapatkan sokongan, dan sudah terlambat jika beliau serius mahu PPSMI itu dimansuhkan.

Thursday, December 25, 2008

Politik wang tidak berlaku dalam UMNO?

Walaupun respons atau tanggapan terhadap keputusan Lembaga Disiplin UMNO baru-baru ini tidak banyak, tetapi sebahagian daripada respons itu saya kira membayangkan kekecewaan terhadap keputusan itu. Antara sebabnya ialah:

a) Jumlah orang yang dihukum atau dikenakan tindakan terlalu kecil.
b) Kebanyakan orang yang dihukum ialah tokoh kecil atau orang kecil
c) Isu yang terlibat pula kebanyakannya ialah isu kecil dan remeh.

Misalnya seorang bekas Ketua Bahagian dikenakan tindakan kerana dikatakan "berkempen" dalam blog sendiri menjelang mesyuarat perwakilan Bahagian yang lalu. Kewajaran hukuman itu telah dipersoalkan oleh sesetengah penulis blog.

Bagaimanapun, perkara yang paling mengecewakan bagi saya ialah di saat seluruh masyarakat memberi tumpuan terhadap politik wang dalam UMNO, kes yang telah diputuskan nampaknya tidak ada yang berkaitaan dengan politik wang.

Hal ini telah menimbulkan tanggapan sinis di kalangan sesetengah penulis blog seolah-olah politik wang itu tidak ada atau tidak berlaku dalam UMNO!

Di samping itu, sebagai sebuah "lembaga" yang berkedudukan tinggi dan dianggotai pula oleh "orang besar" yang berkedudukan tinggi, keputusan Lembaga Disiplin yang hanya mampu menyelesaikan kes orang kecil dan dan isu-isu remeh itu memanglah sangat mengecewakan.

Jika lembaga itu sebuah lembaga yang berwibawa, ia sepatutnya mampu mengkaji dan membuat keputusan mengenai masalah politik wang yang dikatakan melibatkan tokoh besar UMNO, misalnya. Barulah lembaga itu akan mendapat pandangan dan sanjungan yang tinggi daripada masyarakat.

Akan tetapi hal ini tidak berlaku. Jadi dimanakah kewibawaan lembaga itu?