Thursday, October 6, 2011

Negara kita memang pernah dijajah

Kita memang sudah terbiasa dengan pandangan bahawa negara kita pernah dijajah, mula-mula oleh Portugias, kemudian oleh Belanda dan seterusnya oleh Inggeris.

Kita juga sudah lama menerima hakikat bahawa Tunku Abdul Rahman telah pergi ke London untuk menuntut kemerdekaan dan negara kita diberi kemerdekaan oleh British pada 31 Ogos 1957. Sebab itulah pada tiap-tiap 31 Ogos kita mengadakan sambutan hari ulang tahun kemerdekaan.

Jadi memang terasa agak pelik apabila baru-baru ini ada seorang Profesor mengatakan bahawa negara kita tidak pernah dijajah dengan alasan negara kita hanya "bernaung di bawah Inggeris ", diperintah secara tidak langsung, dan raja-raja kita masih "berkuasa".

Bagaimanapun, tentu ramai yang bersetuju apabila Timbalan PM, Muhyidin mengatakan baru-baru ini bahawa negara kita memang pernah dijajah. Walaupun raja-raja kita masih dikekalkan oleh British, tetapi mereka tidak berkuasa dan terpaksa mengikut "nasihat" yang diberi oleh Residen Inggeris atau Penasihat Inggeris.

Saya kira inilah pendapat yang lebih betul.

Wednesday, October 5, 2011

Mengapa ibu membuang anak ke longkang?

Satu masa dahulu, sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita, anak angkat, termasuk anak luar nikah dibinkan kepada bapa angkatnya.

Sudah menjadi kebiasaan juga, anak yang lahir dari persetubuhan haram, dibinkan kepada bapanya yang sebenar, sekiranya ibu bapanya berkahwin ketika anak itu berada dalam kandungan ibunya, tanpa mengira bila ia lahir ke dunia.

Apakah ertinya ini? Saya kira ertinya ialah anak luar nikah dan anak yang lahir dari persetubuhan haram itu diterima oleh masyarakat. Ia tidak menanggung malu, kerana ia ada "bapa yang sah", walaupun ia adalah anak haram.

Tapi sekarang, berasaskan fahaman agama yang "sebenar", hal itu tidak berlaku lagi. Anak itu tidak boleh dibinkan kepada bapa angkat atau kepada bapanya yang sebenar, kecuali jika ia lahir lebih 6 bulan selepas ibu bapanya berkahwin.

Ia dianggap anak tak sah taraf. Dengan dibinkan kepada Abdullah, ia akan segera tahu bahawa ia adalah anak luar nikah atau anak yang lahir dari persetubuhan haram.

Ia akan menanggung malu seumur hidup. Ibu yang melahirkanya juga tidak sanggup melihat anaknya menanggung malu seumur hidup, kerana masyarakat seolah-olah tidak menerimanya, malah mengutuknya.

Jadi ibu yang telah "terlanjur" dan akan melahirkan anak yang demikian, nampaknya lebih rela membuang anak itu ke dalam tong sampah atau ke dalam longkang, sama ada anak itu masih hidup atau sudah mati.

Memang ibu itu melakukan kesalahan besar dan berdosa besar. Tapi itulah akibatnya apabila masyarakat tidak mahu menerima anak yang demikian, dan lebih suka anak itu menanggung malu seumur hidup, walaupun itulah kononnnya ajaran dan hukum agama.