Wednesday, December 14, 2011

Gejala murtad di kalangan mualaf

Dari masa ke masa, kita kadang-kadang terbaca mengenai orang Islam di Malaysia yang ingin keluar dari agama Islam atau memohon menjadi murtad. Akan tetapi, hampir tidak pernah diterangkan orang yang ingin keluar dari Islam itu siapa: mualaf atau orang yang memang lahir sebagai orang Islam?

Saya kira perbezaan antara mualaf dengan orang yang memang lahir sebagai orang Islam ini perlu dijelaskan, supaya kita tahu maklumat yang tepat tentang hal itu.

Baharu-baru ini ada penjelasan dari Jabatan Agama Islam Johor bahawa, "Antara sebab mereka membuat permohonan untuk murtad termasuklah kegagalan dalam percintaan atau perkahwinan iaitu ingin kembali kepada agama asal selain alasan dipelihara keluarga bukan beragama Islam sejak kecil." (Utusan Malaysia, 14/12/2001) .

Dari penjelasan Jabatan Agama Islam Johor itu saya mengandaikan bahawa sebahagian, malah mungkin sebahagian besar daripada orang-orang yang memohon murtad itu sebenarnya terdiri daripada golongan mualaf.

Sebahagian daripada golongan mualaf ini biasanya masuk Islam kerana ingin berkahwin dengan lelaki Melayu/ Islam, dan mereka mungkin tidak belajar tentang Islam sebelum masuk Islam. Oleh itu apabila perkahwinan mereka gagal, mereka memang mudah hendak kembali kepada agama asal mereka.

Apatah lagi sering kita dengar banyak wanita yang asalnya bukan Islam itu yang dianiaya atau diabaikan oleh suami mereka, lelaki Melayu/Islam, setelah setahun dua mereka berkahwin . Ini menyebabkan mereka kecewa dengan suami mereka yang mungkin tidak mempunyai akhlak yang baik, dan dengan itu ingin kembali kepada agama asal mereka.

Sekiranya benar orang yang ingin murtad ini terutamanya terdiri daripada golongan mualaf, kita tentu perlu mencari jalan yang terbaik dan bijaksana untuk mengatasinya.

Setakat ini kita agaknya hanya mampu memberi kaunseling dan bimbingan supaya mereka membatalkan hasrat untuk keluar dari agama Islam. Lebih dari itu, saya tidak tahu sama ada kita mampu atau tidak melakukan sesuatu. Kita tentunya tidak mampu membunuh mereka!

Bagaimanapun, oleh kerana orang yang ingin keluar dari agama Islam ini ialah golongan mualaf dan bukan orang yang memang lahir sebagai orang Islam, saya kira kita mungkin tidak perlu terlalu khuatir dengan isu murtad ini, kerana orang Islam di negara ini (kecuali golongan mualaf) masih kukuh dengan keyakinan dan pegangan mereka terhadap agama Islam.

Isu orang mualaf ingin murtad ini adalah satu isu yang agak khusus dan memerlukan perhatian yang khusus. Ini mungkin membayangkan kegagalan kita mendakwahkan dan mentarbiahkan mereka.

Jadi usaha dakwah dan tarbiah itu perlu ditingkatkan. Orang mualaf tidak wajar dibiarkan dan tidak diberi apa-apa bimbingan selepas mereka masuk Islam.

Jika tidak, besar sekali kemungkinannya gejala murtad di kalangan mereka akan berterusan.