Saturday, February 25, 2012

Isu murtad bukan perkara serius?

HIMPUN nampaknya masih bermain dengan angka. Setiausaha Agungnya Aminudin Yahya mengatakan bahawa permohonan murtad kini adalah besar, iaitu 868 orang. Mereka menunggu pengesahan untuk keluar Islam. Jadi masalah murtad dikatakan adalah perkara serius.

Akan tetapi, yang tidak dijelaskan oleh beliau adalah daripada 868 permohonan itu berapa orang mualaf dan berapa orang bukan mualaf?

Sehingga dapat data yang betul-betul sah, saya menduga kebanyakan daripada mereka adalah mualaf, bukan daripada orang Melayu yang lahir sebagai orang Islam.

Jika betul begitu, saya tidak anggap isu murtad ini sebagai perkara yang serius. Itu memang satu kemungkinan yang boleh diduga, kerana kegagalan kita mendakwahkan dan mentarbiahkan mereka.

Bagaimanapun, tentu wajar kita kaji dengan lebih lanjut mengapa mereka hendak murtad dan bagaimana hendak mengatasinya?

Wednesday, December 14, 2011

Gejala murtad di kalangan mualaf

Dari masa ke masa, kita kadang-kadang terbaca mengenai orang Islam di Malaysia yang ingin keluar dari agama Islam atau memohon menjadi murtad. Akan tetapi, hampir tidak pernah diterangkan orang yang ingin keluar dari Islam itu siapa: mualaf atau orang yang memang lahir sebagai orang Islam?

Saya kira perbezaan antara mualaf dengan orang yang memang lahir sebagai orang Islam ini perlu dijelaskan, supaya kita tahu maklumat yang tepat tentang hal itu.

Baharu-baru ini ada penjelasan dari Jabatan Agama Islam Johor bahawa, "Antara sebab mereka membuat permohonan untuk murtad termasuklah kegagalan dalam percintaan atau perkahwinan iaitu ingin kembali kepada agama asal selain alasan dipelihara keluarga bukan beragama Islam sejak kecil." (Utusan Malaysia, 14/12/2001) .

Dari penjelasan Jabatan Agama Islam Johor itu saya mengandaikan bahawa sebahagian, malah mungkin sebahagian besar daripada orang-orang yang memohon murtad itu sebenarnya terdiri daripada golongan mualaf.

Sebahagian daripada golongan mualaf ini biasanya masuk Islam kerana ingin berkahwin dengan lelaki Melayu/ Islam, dan mereka mungkin tidak belajar tentang Islam sebelum masuk Islam. Oleh itu apabila perkahwinan mereka gagal, mereka memang mudah hendak kembali kepada agama asal mereka.

Apatah lagi sering kita dengar banyak wanita yang asalnya bukan Islam itu yang dianiaya atau diabaikan oleh suami mereka, lelaki Melayu/Islam, setelah setahun dua mereka berkahwin . Ini menyebabkan mereka kecewa dengan suami mereka yang mungkin tidak mempunyai akhlak yang baik, dan dengan itu ingin kembali kepada agama asal mereka.

Sekiranya benar orang yang ingin murtad ini terutamanya terdiri daripada golongan mualaf, kita tentu perlu mencari jalan yang terbaik dan bijaksana untuk mengatasinya.

Setakat ini kita agaknya hanya mampu memberi kaunseling dan bimbingan supaya mereka membatalkan hasrat untuk keluar dari agama Islam. Lebih dari itu, saya tidak tahu sama ada kita mampu atau tidak melakukan sesuatu. Kita tentunya tidak mampu membunuh mereka!

Bagaimanapun, oleh kerana orang yang ingin keluar dari agama Islam ini ialah golongan mualaf dan bukan orang yang memang lahir sebagai orang Islam, saya kira kita mungkin tidak perlu terlalu khuatir dengan isu murtad ini, kerana orang Islam di negara ini (kecuali golongan mualaf) masih kukuh dengan keyakinan dan pegangan mereka terhadap agama Islam.

Isu orang mualaf ingin murtad ini adalah satu isu yang agak khusus dan memerlukan perhatian yang khusus. Ini mungkin membayangkan kegagalan kita mendakwahkan dan mentarbiahkan mereka.

Jadi usaha dakwah dan tarbiah itu perlu ditingkatkan. Orang mualaf tidak wajar dibiarkan dan tidak diberi apa-apa bimbingan selepas mereka masuk Islam.

Jika tidak, besar sekali kemungkinannya gejala murtad di kalangan mereka akan berterusan.

Thursday, November 17, 2011

Betapa bagusnya kalau pembangkang kuat

Ketika saya bersekolah kira-kira 20 tahun yang lalu, saya kena bayar yuran sekolah pada tiap-tiap tahun. Buku teks pun kena beli sendiri.

Pada masa itu saya kira jumlah orang miskin lebih ramai daripada sekarang. Tentu ada yang tidak mampu untuk membayar yuran sekolah anak mereka.Tapi kerajaan tak ambil peduli.

Sekarang, ketika bilangan orang miskin sudah berkurangan, yuran sekolah sudah tidak perlu bayar lagi. Buku teks pun dipinjamkan kepada semua murid, termasuk anak orang kaya.

Dalam sehari dua ini tiap-tiap orang murid sekolah rendah dan menengah dapat bantuan RM100, walaupun agaknya pada tahun ini saja, menjelang pilihan raya. Alangkah bagusnya!

Tapi mengapa kerajaan sekarang begitu murah hati? Saya kira mungkin sekali kerana parti pembangkang begitu kuat, dan pertandingan dalam pilihan raya nanti begitu sengit.

Jadi kerajaan yang ada sekarang terpaksa melakukan apa saja untuk mendapat sokongan dan undi rakyat.

Ini agaknya bukti betapa bagusnya kalau pembangkang kuat.

Tuesday, November 15, 2011

Mengapa guru perlu bekerja 9 jam sehari?

Mengapa guru perlu bekerja 9 jam sehari? Adakah kerana kerja guru sekarang dianggap ringan dan kerana itu waktu kerja mereka perlu ditambah? Ataupun kerana pandangan orang-orang yang bekerja di pejabat dan mahukan guru-guru bekerja 9 jam seperti mereka?

Saya tidak tahu jawapannya. Akan tetapi, mengarahkan guru di beberapa negeri bekerja 9 jam sehari sebagai perintis, saya kira bukan caranya untuk mendapatkan "waktu yang ideal" bagi tugas guru.

Saya rasa satu cara untuk mendapatkan waktu yang ideal bagi tugas guru ini ialah dengan meninjau dan membandingkan waktu guru bertugas di negara lain, misalnya di negara Asean, seperti Singapura, Indonesia dan Thailand, atau di negeri yang lebih maju, seperti Australia dan Britain.

Dengan membuat tinjuan demikian, kita mungkin lebih mudah mengambil keputusan dan tidak perlu mengarahkan guru menjalani tahap perintis atau percubaan seperti yang diarahkan oleh kerajaan.

Thursday, October 6, 2011

Negara kita memang pernah dijajah

Kita memang sudah terbiasa dengan pandangan bahawa negara kita pernah dijajah, mula-mula oleh Portugias, kemudian oleh Belanda dan seterusnya oleh Inggeris.

Kita juga sudah lama menerima hakikat bahawa Tunku Abdul Rahman telah pergi ke London untuk menuntut kemerdekaan dan negara kita diberi kemerdekaan oleh British pada 31 Ogos 1957. Sebab itulah pada tiap-tiap 31 Ogos kita mengadakan sambutan hari ulang tahun kemerdekaan.

Jadi memang terasa agak pelik apabila baru-baru ini ada seorang Profesor mengatakan bahawa negara kita tidak pernah dijajah dengan alasan negara kita hanya "bernaung di bawah Inggeris ", diperintah secara tidak langsung, dan raja-raja kita masih "berkuasa".

Bagaimanapun, tentu ramai yang bersetuju apabila Timbalan PM, Muhyidin mengatakan baru-baru ini bahawa negara kita memang pernah dijajah. Walaupun raja-raja kita masih dikekalkan oleh British, tetapi mereka tidak berkuasa dan terpaksa mengikut "nasihat" yang diberi oleh Residen Inggeris atau Penasihat Inggeris.

Saya kira inilah pendapat yang lebih betul.

Wednesday, October 5, 2011

Mengapa ibu membuang anak ke longkang?

Satu masa dahulu, sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita, anak angkat, termasuk anak luar nikah dibinkan kepada bapa angkatnya.

Sudah menjadi kebiasaan juga, anak yang lahir dari persetubuhan haram, dibinkan kepada bapanya yang sebenar, sekiranya ibu bapanya berkahwin ketika anak itu berada dalam kandungan ibunya, tanpa mengira bila ia lahir ke dunia.

Apakah ertinya ini? Saya kira ertinya ialah anak luar nikah dan anak yang lahir dari persetubuhan haram itu diterima oleh masyarakat. Ia tidak menanggung malu, kerana ia ada "bapa yang sah", walaupun ia adalah anak haram.

Tapi sekarang, berasaskan fahaman agama yang "sebenar", hal itu tidak berlaku lagi. Anak itu tidak boleh dibinkan kepada bapa angkat atau kepada bapanya yang sebenar, kecuali jika ia lahir lebih 6 bulan selepas ibu bapanya berkahwin.

Ia dianggap anak tak sah taraf. Dengan dibinkan kepada Abdullah, ia akan segera tahu bahawa ia adalah anak luar nikah atau anak yang lahir dari persetubuhan haram.

Ia akan menanggung malu seumur hidup. Ibu yang melahirkanya juga tidak sanggup melihat anaknya menanggung malu seumur hidup, kerana masyarakat seolah-olah tidak menerimanya, malah mengutuknya.

Jadi ibu yang telah "terlanjur" dan akan melahirkan anak yang demikian, nampaknya lebih rela membuang anak itu ke dalam tong sampah atau ke dalam longkang, sama ada anak itu masih hidup atau sudah mati.

Memang ibu itu melakukan kesalahan besar dan berdosa besar. Tapi itulah akibatnya apabila masyarakat tidak mahu menerima anak yang demikian, dan lebih suka anak itu menanggung malu seumur hidup, walaupun itulah kononnnya ajaran dan hukum agama.

Monday, December 29, 2008

Orang bukan Islam pun sudah sokong hudud?

Utusan Malaysia 29 Disember 2008 melaporkan bahawa Kelab Penyokong PAS Kebangsaan yang mempunyai ahli lebih 10,000 orang (semuanya orang bukan Islam) tidak akan menghalang hasarat PAS untuk melaksanakan hukum hudud dan qisas.

(Saya anggap berita seperti itu tentu benar apabila Utusan Malaysia mahu menyiarkannya).

Pengerusi Kelab itu, Hu Pang Chaw dilaporkan berkata, " Kita tidak membantah jika PAS mahu melaksanakan hudud dan qisas sekiranya pakatan pembangkang menguasai kerajaan pada masa akan datang, kita memahami bahawa hukum itu hanya dilaksanakan kepada mereka yang beragama Islam sahaja".

Kata beliau seterusnya, "Orang Cina sudah faham soal Islam, mereka sudah faham ia hanya untuk orang Islam dan tidak melibatkan orang bukan Islam."

Sementara itu, mengikut laporan Harakah Bil. 1402, 29 Disember 2008 - 1 Janauri 2009, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, M.Kulasegaran ada berkata , "... beliau menghormati pendirian PAS dalam pelaksanaan hukum hudud, dan yakin bukan Islam di negara ini tidak akan terjejas kehidupan mereka jika ia dilaksanakan."

Beliau seterusnya dilaporkan berkata "Ia adalah pendirian PAS. Saya hormati pendirian mereka. Itu merupakan urusan mereka."

Dari dua kenyataan pemimpin bukan Islam itu, kita boleh simpulkan bahawa orang bukan Islam di negara ini sudah ramai yang boleh memahami dan menerima hukum hudud.

Walaupun pemimpin DAP yang lain seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh masih belum boleh menerima pelaksanaan hukum hudud, tetapi ada pemimpin DAP seperti M.Kulasegaran dan sebilangan orang bukan Islam yang menganggotai Kelas Penyokong PAS yang sudah boleh menerima pelaksanaan hukum tersebut.

Jadi dalam persaingan politik antara PAS dan UMNO, saya kira ini adalah kemenangan PAS.

Malang sekali sebagai parti Melayu yang terbesar UMNO masih tidak mahu menyokong pelaksanaan hukum hudud, sedangkan orang bukan Melayu boleh menerima pelaksanaan hukum tersebut.

PAS memang menyedari mereka belum mampu melaksanakannya dalam tempo terdekat secara bersendirian, tetapi hasrat itu tetap ada, dan pelaksanaan hukum hudud itu tetap menjadi matlamat perjuangan mereka.

Tapi apakah yang dilakukan oleh UMNO?

Pemimpin UMNO dan akhbar yang dikuasainya masih berdolak dalik, masih tidak berani berterus terang dan masih terus memperlekehkan hasrat dan matlamat perjuangan PAS.

Sepatutnya sebagai parti Melayu yang terbesar, UMNO-lah yang mempelopori pelaksanaan hukum tersebut.

Sekirannya UMNO yang mempeloporinya, PAS menyokongnya dan orang bukan Islam juga semakin ramai yang menyokongnya, tentu besar kemungkinannya hukum hudud akan dapat dilaksanakan dalam tempoh yang tidak terlalu lama.

Tapi malang sekali UMNO terus bermain politik, kerana ia memang tidak berani dan tidak ada pendirian tentang pelaksanaan hukum hudud.

Kita tidak tahu sampai bila UMNO akan berpendirian demikian. Tapi saya kira ini adalah kelemahan dan kesilapan UMNO, dan UMNO janganlah menyesal di kemudian hari, jika ia akan ditinggalkan bukan saja oleh orang Melayu, tetapi juga oleh orang bukan Melayu!