Saturday, August 9, 2008

Bermuzakarah: mesti betul "caranya"

Saya baru saja membaca sedutan ucapan Haji Hadi Awang ketika merasmikan Konvensyen PAS Perak pada 26 Julai 2008 di Ipoh dalam Harakah keluaran 8-14 Ogos 2008.

Sedut ucapan itu diberi tajuk, " Kebijaksaaan perlu dalam mendepani cabaran semasa"

Antara perkara yang menarik perhatian saya ialah kenyataan Haji Hadi bahawa PAS telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan UMNO, kerana Quran telah memerintahkan mereka berbuat demikian, dengan merujuk kepada Surah Anfal ayat 61-63 yang bermaksud:

" Dan sekiranya mereka cenderung untuk berdamai dengan kamu maka hendaklah kamu menerima kecenderungan itu dan bertawakal kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan sekiranya mereka menipu kamu maka cukuplah Allah yang memelihara kamu dengan pertolongan dan dukungan daripada-Nya dan orang yang beriman.Allahlah yang menjinakkan hati-hati mereka, kalau kamu membelanjakan seluruh harta yang ada di muka bumi ini, kamu tidak dapat menjinakkkan hati-hati mereka. Allahlah yang menjinakkan hati-hati mereka."

Memang sudah sewajarnya Haji Hadi dan PAS menunaikan perintah Allah, dan itulah yang sebaik-baiknya.

Akan tetapi, bermuzakarah dengan UMNO adalah "urusan politik", dan tentu ada caranya, sesuai dengan tajuk sedutan ucapan beliau bahawa "kebijaksanaan adalah perlu" dalam menangani hal tersebut.

Dengan perkataan lain, dalam urusan politik, PAS perlu menggunakan "kebijaksanaan berpolitik" dan bukan bertindak secara naif.

Walaupun ada perintah Allah bahawa kita patut bermuzakarah dengan orang yang ingin "berdamai" dengan kita, tetapi muzakarah itu tentu tidak perlu diadakan dengan tergesa-gesa dan secara sembunyi-sembunyi pula, sehingga terpaksa dinafikan pada mulanya.

Yang tidak kurang pentingnya, kita patut juga menyiasat terlebih dahulu apakah UMNO benar-benar ingin "berdamai", ataupun hanya mencari helah untuk memerangkap kita.

Juga tidak kurang pentingnya, PAS patut memberitahu rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat ( PKR dan DAP) terlebih dahulu, supaya tindakannya bertemu dan berunding dengan UMNO itu tidak dicurigai dan disalahfahami.

Apabila PAS bertemu dan berbincang dengan UMNO secara sembunyi-sembunyi dan tergesa-gesa, dan tidak mengkaji kemungkinan UMNO hanya ingin memerangkap PAS dan bukan betul-betul untuk "berdamai", dan PAS tidak memberitahu rakannya dalam Pakatan Rakyat terlebih dahulu, tidaklah terlihat kebijaksanaan pemimpin PAS menangani isu tersebut.

Walaupun Haji Haji mendakwa PAS berunding atau bermuzakarah dengan UMNO sebagai menunaikan perintah Allah, tetapi cara beliau bertindak jelas tidaklah bijaksana, kalaupun tidak boleh dikatakan agak naif.