Wednesday, October 5, 2011

Mengapa ibu membuang anak ke longkang?

Satu masa dahulu, sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita, anak angkat, termasuk anak luar nikah dibinkan kepada bapa angkatnya.

Sudah menjadi kebiasaan juga, anak yang lahir dari persetubuhan haram, dibinkan kepada bapanya yang sebenar, sekiranya ibu bapanya berkahwin ketika anak itu berada dalam kandungan ibunya, tanpa mengira bila ia lahir ke dunia.

Apakah ertinya ini? Saya kira ertinya ialah anak luar nikah dan anak yang lahir dari persetubuhan haram itu diterima oleh masyarakat. Ia tidak menanggung malu, kerana ia ada "bapa yang sah", walaupun ia adalah anak haram.

Tapi sekarang, berasaskan fahaman agama yang "sebenar", hal itu tidak berlaku lagi. Anak itu tidak boleh dibinkan kepada bapa angkat atau kepada bapanya yang sebenar, kecuali jika ia lahir lebih 6 bulan selepas ibu bapanya berkahwin.

Ia dianggap anak tak sah taraf. Dengan dibinkan kepada Abdullah, ia akan segera tahu bahawa ia adalah anak luar nikah atau anak yang lahir dari persetubuhan haram.

Ia akan menanggung malu seumur hidup. Ibu yang melahirkanya juga tidak sanggup melihat anaknya menanggung malu seumur hidup, kerana masyarakat seolah-olah tidak menerimanya, malah mengutuknya.

Jadi ibu yang telah "terlanjur" dan akan melahirkan anak yang demikian, nampaknya lebih rela membuang anak itu ke dalam tong sampah atau ke dalam longkang, sama ada anak itu masih hidup atau sudah mati.

Memang ibu itu melakukan kesalahan besar dan berdosa besar. Tapi itulah akibatnya apabila masyarakat tidak mahu menerima anak yang demikian, dan lebih suka anak itu menanggung malu seumur hidup, walaupun itulah kononnnya ajaran dan hukum agama.

No comments: