Thursday, July 31, 2008

Ke arah Dua Front (Pakatan Rakyat vs BN)

Saya rasa PAS telah mengambil keputusan yang betul, apabila memilih untuk terus kekal dalam Pakatan Rakyat dan menolak bekerjasama dengan UMNO.

PAS sebenarnya mempunyai obligasi moral untuk terus bekerjasama dengan PKR dan DAP, kerana kemenangan PAS dalam pilihanraya yang lalu, sebahagiannya adalah kerana sokongan orang bukan Melayu, dan sokongan itu diperolehi melalui pakatan antara PAS dengan PKR dan DAP.

Walaupun kita tahu, hubungan PAS dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat masih longgar dan rapoh, tetapi demi kepentingan bersama dan demi mencapai matlamat yang disepakati bersama, hubungan itu bukanlah tidak boleh dipereratkan.

Dalam hal ini, antara faktor yang menentukan ialah masa. Masa yang lebih panjang mungkin akan memberi mereka peluang untuk mengeratkan lagi hubungan itu.

Sementara itu, perbezaan ideologi antara PAS dan DAP khasnya, saya kira tidak harus dijadikan halangan untuk bekerjasama, jika masing-masing pihak boleh mengambil sikap
saling menghormati, dan mengambil sikap yang realistik dan pragmatik, jika keadaan memerlukan.

Memang PAS berjuang berdasarkan Islam dan mempunyai matlamat untuk menegakkan negara Islam dan hukum Islam. Akan tetapi, dalam masyarakat plural seperti Malaysia, di mana orang Melayu/Islam hanya kira-kira separuh daripada penduduknya, kemampuan PAS untuk mencapai matlamat itu ada batasnya, dan PAS perlu mengumpulkan "kekuatan" terlebih dahulu sebelum dapat menjadikan matlamat yang ideal itu satu realiti.

Sekiranya kewujudan Pakatan Rakyat dapat dikekalkan, ini akhirnya mungkin akan membawa kepada kewujudan dua front atau barisan sahaja dalam setiap pilihan raya yang akan datang, iaitu Pakatan Rakyat (yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP) dan Barisan Nasional (yang terdiri daripada UMNO dan parti lain yang bersekutu dengannya).

Perkembangan ini saya kira akan membawa kita ke satu era politik baru, iaitu politik dua front yang lebih stabil, dan mungkin kurang bersifat perkauman.

Perkermbangan ini, jika berlaku, tentu lebih baik daripada UMNO bergabung dengan PAS di satu pihak, dan parti-parti bukan Melayu bergabung sesama mereka di satu pihak lagi.

Walaupun faham perkauman tentunya tidak boleh dihilangkan dengan serta merta, akan tetapi jika wujud pertandingan antara dua front sahaja (Pakatan Rakyat lawan BN), faham perkauman itu mungkin dapat diminimumkan, dan tidak terlalu ditonjolkan.

Cara berpolitik seperti ini saya kira wajar dicuba dan diteruskan dalam sebuah negara dan masyarakat berbilang bangsa, berbilang agama dan berbilang budaya seperti Malaysia.

Tuesday, July 29, 2008

Salam Perkenalan

Ini blog baru untuk membincangkan pelbagai isu semasa. Selamat membaca.